“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah at-Taubah: 20)
Apabila tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam sering diingatkan tentang kepentingan melakukan perubahan. Mimbar masjid, ucapan rasmi, dan media sosial kebiasaannya akan dipenuhi dengan seruan agar masyarakat memperbaharui azam serta melakukan penghijrahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Namun, di sebalik semangat yang diraikan saban tahun itu, wajar untuk kita merenung kembali—adakah makna hijrah itu benar-benar difahami, atau sekadar diulang sebagai istilah yang semakin hilang rohnya dalam kehidupan seharian?
Dalam konteks hari ini, hijrah sering dikaitkan dengan perubahan luaran semata-mata. Perubahan gaya pakaian, penampilan, gaya hidup, dan lingkungan pergaulan sering dianggap sebagai penanda aras utama bahawa seseorang itu ‘sudah berhijrah’.
Perubahan sedemikian tidak salah, malah ia mempunyai nilai dan kebaikannya yang tersendiri. Namun, jika pemahaman hijrah hanya terhenti pada lapisan luaran, maknanya menjadi terlalu sempit. Hijrah yang sebenar bukan sekadar menukar wajah, tetapi mengubah arah hidup. Penghijrahan yang bermula dari hati itu adalah lebih utuh dan berpanjangan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta kalian. Akan tetapi, Allah hanyalah melihat pada hati dan amalan kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, hijrah dari sudut penampilan dan kekemasan luaran juga tetap dituntut dalam Islam, seiring dengan hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai kecantikan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila kita menelusuri sirah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, ia bukanlah sekadar satu perpindahan lokasi. Ia merupakan satu transformasi besar yang mengubah sebuah masyarakat daripada penindasan kepada keadilan, daripada perpecahan kepada persaudaraan, dan daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran.
Hijrah tersebut melahirkan sebuah tamadun hebat yang dibina atas asas iman, ilmu, dan akhlak. Maka, hijrah wajar difahami sebagai proses perubahan menyeluruh yang merangkumi hati, pemikiran, tindakan, dan masyarakat.
Lihat sahaja pesanan keramat Nabi SAW semasa baginda dan Abu Bakar RA berlindung di dalam Gua Thur, seperti yang dirakamkan indah dalam al-Quran:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita’. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya…” (Surah at-Taubah: 40)
Para ulama turut melihat makna hijrah dalam dimensi yang sangat luas. Imam al-Ghazali, misalnya, menekankan bahawa perjalanan seorang mukmin ialah usaha berterusan untuk membersihkan hati daripada penyakit rohani seperti riak, hasad dengki, takbur, dan cinta dunia yang melampau. Beliau mengingatkan manusia agar tidak terlalu sibuk memperindah penampilan zahir sehingga mengabaikan keadaan batin.
Pesanan ini amat dekat dengan realiti masa kini. Dalam era media sosial, manusia terdedah kepada kecenderungan membina gambaran hidup yang sempurna walaupun hakikatnya kosong daripada makna. Apa yang dipamerkan di skrin sering dianggap lebih penting daripada realiti yang sebenar. Ramai yang mahu dilihat berubah, tetapi kurang bersedia untuk menilai diri sendiri. Sedangkan, hijrah yang sejati mesti bermula dengan muhasabah.
Rasulullah SAW mengingatkan:
“Orang yang cerdik, (adalah) sesiapa yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Masyarakat Melayu sejak dahulu juga cukup memahami kepentingan menilai diri melalui ungkapan, “tepuk dada, tanya selera.” Sebelum menyalahkan keadaan, masyarakat, atau orang lain, seseorang individu itu perlu bertanya kepada dirinya sendiri tentang:
Muhasabah ialah langkah pertama dalam perjalanan hijrah. Tanpanya, perubahan hanya akan menjadi slogan kosong yang tidak memberi kesan mendalam.
Musuh terbesar manusia sebenarnya bukanlah semata-mata cabaran luaran, tetapi kelemahan yang bersarang di dalam diri sendiri. Nafsu, ego, sifat malas, ketamakan, dan keangkuhan sering menjadi penghalang utama kepada perubahan. Perumpamaan “musuh dalam selimut” sangat tepat bagi menggambarkan keadaan ini. Seseorang mungkin mampu menangkis ujian dari luar, tetapi kecundang dalam menundukkan hawa nafsunya sendiri.
Oleh itu, hijrah menuntut keberanian yang luar biasa.
Orang yang mudah marah perlu berhijrah kepada kesabaran. Orang yang suka menangguhkan kerja perlu berhijrah kepada disiplin. Orang yang sering mencari kesalahan orang lain perlu berhijrah kepada budaya memperbaiki diri sendiri. Perubahan-perubahan kecil seperti ini mungkin tidak mendapat perhatian atau pujian manusia, tetapi percayalah, nilainya sangat besar dan mulia di sisi Allah SWT.
Arahan : Anda boleh pilih lebih dari satu
Ash Brown
Ash Grey
Burgundy
Caramel Gold
Chocolate Brown
Coco Black
Hazelnut
Honey Brown
Persian Red
Royal Chestnut
Jumlah: RM 0
Arahan : Anda boleh pilih lebih dari satu
Ash Brown
Ash Grey
Burgundy
Caramel Gold
Chocolate Brown
Coco Black
Hazelnut
Honey Brown
Persian Red
Royal Chestnut
Jumlah: RM 0