Sticker inai, henna atau nama saintifiknya, lawsonia inermis, merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan sejak berabad lamanya.
Selain memberikan manfaat bagi minda dan jiwa seseorang, inai juga dikatakan menyimpan suatu makna yang simbolik.
Inai kebiasaannya digunakan untuk mewarnakan rambut dan kuku sejak dahulu lagi.
Di Malaysia khususnya bagi masyarakat Melayu, tradisi pemakaian inai sangat sinonim dengan upacara perkahwinan dan juga perayaan.
Pemakaian inai secara tradisional mungkin telah berevolusi seiring dengan peredaran zaman kerana manusia menjadi semakin kreatif dan teknologi juga semakin canggih.
Kini, inai menjadi trend yang digemari wanita kerana ia semakin mudah dipakai dengan kewujudan inai celup dan sticker inai.
Asal-usul Inai
Para sejarawan bercanggah pendapat tentang asal-usul pokok inai yang sebenar.
Hal ini demikian kerana mereka mendapati masyarakat di Afrika Utara, Timur Tengah dan India telah pun mula menggunakan inai lebih 5,000 tahun yang lalu.
Daun inai yang dihancurkan akan menjadi pes yang digunakan untuk menjadi seni rekaan halus yang menghiasi anggota badan si pemakai. Corak rekaan pula adalah berbeza mengikut negara dan budaya.
Lakaran corak inai dari negara Afrika seperti Maghribi dan Mesir lebih cenderung memaparkan bentuk-bentuk geometri.
Manakala, rekaan dari negara India pula biasanya berbentuk garis-garis halus bermotifkan bunga.
Kebanyakan orang mengenakan inai untuk menutup uban serta menjadi perhiasan tambahan pada telapak dan bahagian belakang telapak tangan serta kaki.
Namun, inai juga boleh dipakai di bahagian badan yang lain mengikut adat dan kepercayaan masing-masing.
Inai lazimnya digunakan untuk pelbagai upacara kerohanian, sosial dan keagamaan seperti perkahwinan, perayaan, hari lahir dan sebagainya.
Cara Penyediaan Inai
Inai mengandungi lawsone iaitu pewarna jingga kemerah-merahan semula jadi yang akan meninggalkan kesan pada kulit dan rambut.
Warna yang terhasil berbeza-beza daripada jingga sehingga ungu kemerahan bergantung kepada penerimaan kulit si pemakai dan kualiti inai.
Inai disediakan dengan kaedah menggilis atau menghancurkan daun inai dengan sedikit air.
Ada sesetengah orang mencampurkan pes yang diperoleh dengan sedikit pati minyak, kopi atau jus lemon untuk mendapatkan hasil yang lebih berwarna terang dan tahan lebih lama.
Setelah dibiarkan semalaman, pes henna yang telah siap sepatutnya akan berwarna hijau terang.
Pes ini kemudian akan diaplikasikan pada rambut beruban atau anggota badan dan dibiarkan selama beberapa jam sebelum dicuci.
Inai Untuk Rambut Sihat
Selain menutupi rambut putih, penggunaan inai sebagai ejen pelebat rambut sebenarnya sudah lama diamalkan.
Kandungan fitokimia seperti tanin dan fenolik dalam daun inai boleh membantu menyuburkan kulit kepala selain memulihkan rambut.
Inai juga dilaporkan membantu mengelakkan rambut bercabang, menutup kutikel rambut, mengimbangi pengeluaran minyak serta mengawal bacaan pH pada kulit kepala.
Bagi kaum lelaki terutamanya, inai dapat membantu mengurangkan masalah rambut gugur, menyelesaikan masalah kelemumur dan masalah botak.
Untuk hasil yang lebih memuaskan, inai boleh dicampur dengan minyak atau yogurt asli.
Bancuhan akan disapu ke seluruh rambut dan kulit kepala kemudian dibiarkan semalaman sebelum dibasuh pada keesokan hari.
Amalan ini boleh diulang setiap satu atau dua bulan untuk memiliki rambut yang lebat, sihat dan menawan.
‘Tatu’ henna
Tidak kira sama ada di India, Timur Tengah mahupun Afrika, seni henna mempunyai makna yang simbolik dalam warisan budaya dan adat tempatan.
Walaupun ia kelihatan seperti tatu, namun pemakaian henna diharuskan dalam agama Islam kerana sifatnya yang tidak kekal selagi mana rekaan lakaran tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Kini, trend memakai inai ini tidak lagi terhad untuk majlis-majlis tertentu.
Malah, pengukir-pengukir inai juga boleh dilihat berada di majlis kasual seperti ekspo, majlis sekolah, majlis sambutan hari lahir dan sebagainya.
Adat berinai bagi pasangan mempelai juga sudah melangkau jauh daripada tradisi lama.
Masyarakat moden hari ini menyambut malam berinai sama meriah seperti majlis pernikahan itu sendiri.
Lakaran eksklusif henna bermotifkan flora sering menjadi pilihan bagi pasangan raja sehari.
Ia dapat menjadi aksesori tambahan untuk menaikkan seri serta menambahkan keanggunan pengantin perempuan semasa berada di atas pelamin.
Di samping itu, inai dipercayai mempunyai kesan terapeutik, khasiat penyembuhan serta boleh dijadikan terapi diri dan juga minda.
Apabila inai dipakaikan kepada bakal pengantin semasa malam berinai, ia mampu menenangkan, menghilangkan darah gemuruh serta mengurangkan tekanan sebelum majlis berlangsung.
Hasil corak inai yang kemas
Setiap lakaran inai mampu bertahan selama lebih kurang lima hari hingga ke dua minggu bergantung kepada aktiviti si pemakai.
Untuk menghasilkan bingkisan lakaran inai yang indah, khidmat pengukir inai yang berkemahiran biasanya digunakan untuk mendapatkan hasil yang halus dan kemas.
Tugas sebagai pengukir inai ini sememangnya bukan sesuatu yang mudah kerana apabila tersilap langkah, palitan inai itu boleh kekal dilihat dan mencacatkan hasil lakaran.
Bagi mereka yang sukakan cabaran dan ingin menghasilkan sendiri lakaran inai, kon atau tiub berisi bancuhan inai ‘instant’ kini amat mudah didapati secara dalam talian mahupun di kedai-kedai.
Mungkin agak sukar untuk membuat lakaran di kedua-dua belah tangan sendiri, namun kewujudan produk inovatif seperti stensil atau sticker inai amat memudahkan urusan lakaran.
Sticker inai kini semakin popular dan menjadi pilihan ramai kerana menjimatkan, boleh dilakukan sendiri serta dapat menghasilkan corak yang kemas seperti yang dihasilkan oleh pengukir inai profesional.
Untuk mendapatkan inai moden berwarna terang yang siap dalam masa yang singkat, anda boleh dapatkannya sekarang di laman web Inai Republic, Inai Moden No.1 di Malaysia.